Merenung kembali musim panas baru baru ini, kali ini saya pulang bersama keluarga dan kena uruskan sendiri semua fungsi eksekutif berbanding pulang bekerja sekejap-sekejap sebelumnya. Sebagai individu ADHD, banyak sekali kejadian berkaitan yang berlaku.


Antaranya, saya kehilangan wallet ketika solat Jumaat di Masjid Sultan Mizan di Putrajaya. Alhamdulillah selepas solat Jumaat, imam yang bertugas telah membuat pengumuman meminta supaya pemilik wallet berjumpa dengan beliau ataupun pihak masjid untuk mendapatkannya semula. Syukur, semua kad, dokumen penting diperolehi semula.


Sebelum daripada itu pula, saya tertinggal banyak peralatan komputer di Airbnb yang kami sewa. Saya tidak menyedarinya kecuali selepas hampir seminggu apabila dihubungi.


Memandu kereta juga mengundang sakit kepala dek macam-macam sistem yang kita tidak biasa. Saya minta bantuan anak untuk jadi co-pilot, memberikan kepada saya Mykad, kad Touch n Go, kad bank, atau wang tunai, apabila perlu membayar tol, parking dan sebagainya.


Di dalam diam, kita tahu betapa 'overwhelming' otak memproses fungsi fungsi eksekutif berkenaan. Lalu banyak jugalah kesilapan dan kesalahan diri yang terjadi.


Apa yang saya nak kongsikan dalam video pada kali ini adalah kepentingan untuk kita 'own' hal tersebut. Tidak menjadikan ADHD sebagai alasan untuk menormalisasikan benda salah kepada tidak salah sehingga kita tidak rasa ada keperluan untuk meminta maaf.


ADHD tidak menjadikan kita tidak mukallaf. Kita bukan orang gila. Semuanya berlaku dalam keadaan kita sedar, dosa dan pahala masih berjalan sebagai seorang Muslim. Cuma dengan diagnosis dengan kefahaman kita mengenai bagaimanakah pre frontal cortex dan frontal lobe kita buat kerja, kita tahu bahawa kesilapan-kesilapan yang kita kesalkan itu bukanlah sepenuhnya bersandar kepada moral. Bukan sebab perangai kita tidak senonoh, pemalas, pendendam, atau pemarah. Tetapi otak kita secara fizikalnya ada cabaran untuk melakukan perkara yang sepatutnya lebih mudah andai dilakukan oleh yang bukan seperti kita. Menginsafi dimensi tersebut, muda- mudahan kita lebih terbuka hati untuk meminta maaf apabila ia memang salah kita.


Ini juga penting untuk kita amalkan supaya kita tidak dikecam oleh masyarakat sebagai golongan yang menjadikan diagnosis ADHD sebagai alasan untuk lepas tangan. Masyarakat sendiri sudah rumit untuk memahami apakah itu ADHD, dan masih ramai menganggap ia sebagai mitos atau benda rekaan 'Barat'. Apatah lagi ketika individu ADHD sendiri tidak menserasikan pandangan alam Barat dengan kita di timur, terutamanya sebagai individu Muslim.


Bagi saya, ADHD ini adalah cabaran yang memerlukan duit dan memerlukan pendidikan serta ilmu. ADHD memerlukan duit kerana untuk mendapatkan diagnosis pun sudah mahal. Diikuti dengan stimulant yang hendak diambil setiap bulan, kosnya juga mahal.


Ada pun mengenai ilmu dan pendidikan, kita sukar untuk memahami diri kita sendiri, apatah lagi orang lain. Bertambah-tambah lagilah susah untuk faham apa itu ADHD, dan cabarannya. Kecuali jika kita terbuka hati untuk mencari ilmu berkaitan dengannya. Sains, agama, moral, kemasyarakatan... Maka marilah sama-sama kita utamakan agenda membaca yang perlu berterusan ini. Terus mencari ilmu dan mengkaji.


Jangan letakkan harapan untuk mengubah dunia atau orang di sekeliling kita. Sebaliknya, gunakanlah ilmu pengetahuan itu untuk menyokong kelangsungan perjuangan diri kita sendiri.


Bersama keyakinan tidak ada satu perkara yang berlaku dalam hidup ini melainkan ada hikmah dan kebaikan di sisi Allah swt.


Satu dua tiga perkara yang kita keluh kesahkan menjadi beban kepada hidup ini , terlalu kecil untuk dibandingkan dengan sejuta rahmat Allah. Kasih sayang dan kebaikan yang Dia berikan tidak terbanding dengan beberapa kekurangan diri yang ada.


Mudah-mudahan sabar dan reda kita itu dibalas dengan syurga Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Amin.


Hasrizal


adhd.hasrizal.com

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message