Seronokkah jadi individu yang ada ADHD?
Apabila kita banyak memperkatakan tentang satu satu perkara, ada kecenderungan dalam masyarakat kita, perkara tersebut menjadi viral, diperkatakan, dan banyak benda pelik yang tidak berlaku di tempat lain berlaku di dalam masyarakat kita.
Makanan, pakaian, macam-macam benda, selalu dibentuk oleh apa yang tular, Tetapi ADHD bukan makanan, bukan minuman, bukan trend, bukan hype.
ADHD adalah cabaran yang benar-benar dihadapi oleh individu yang mengalaminya. Menjadi individu ADHD, bukan glamour, bukan eksklusif. Menjadi individu ADHD bermaksud telah berlaku banyak perkara yang mendukacitakan, mengecewakan, merugikan, mensia-siakan potensi dan peluang hidup.
Dan jika diagnosis seorang dewasa diterima begitu lambat seperti usia saya di akhir empat puluhan, pastinya ADHD yang tidak dikesan lebih awal itu telah meninggalkan tingkah laku, tabiat dan pelbagai kecederaan dalaman kepada individu ini tadi.
ADHD ini bukan alasan. ADHD adalah penjelasan. ADHD mungkin akan menjelaskan apabila penjelasan-penjelasan lain tidak dapat merungkai masalah yang dihadapi oleh individu berkenaan.
ADHD bukan sesuatu yang terjadi kerana sesuatu yang berlaku di sekeliling kita. ADHD berpunca daripada berbezanya cara otak kita berfungsi, disebabkan oleh aspek-aspek yang mungkin membabitkan faktor fizikal kepada otak itu sendiri. Saya tidak mahu mengupas lanjut sisi tersebut kerana saya bukan ahlinya.
Semasa belajar di Finland dahulu, apabila saya sudah dapat melihat kebarangkalian saya mungkin akan sekali lagi gagal melunaskan pengajian seperti tiga empat kali sebelumnya, mencuba dalam tempoh lebih sepuluh tahun, saya berada di dalam keadaan emosi yang sangat rendah. Setelah tanah air ditinggalkan beratus ribu duit habis, apakah perjalanan ini akan berakhir sekali lagi dengan sebuah kegagalan?
Ketika itu, saya kuatkan azam dan berkata kepada diri sendiri seandainya saya berjaya menghabiskan pengajian ini dan memang benar saya mengalami ADHD, saya mahu melakukan advokasi terutamanya untuk individu-individu yang berhasrat untuk menyambung pengajian. Mudah-mudahan kesedaran tentang apa itu ADHD dapat diambil kira sebelum memulakan perjalanan. Dapatlah kesakitan, kesusahan dan masalah yang individu seperti saya hadapi, dicegah daripada berlaku kepada orang lain.
Tapi nampaknya itu bukan rezeki saya.
Namun, advokasi itu masih boleh diteruskan. Mungkin bukan sebagai seorang yang berjaya tapi sebagai seorang yang gagal. Gagal, tetapi menjadikan kegagalan itu sebagai modal untuk meneruskan perjalanan. Baginya, kejayaan bukanlah sebuah destinasi tetapi sebuah kembara hidup menuju ke negeri abadi.
adhd.hasrizal.com
📌
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyokong usaha-usaha pendidikan di platform media sosial saya.
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Revolut: https://revolut.me/hasrizal

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message