Kalau boleh kita mahu ada standard tertentu sebagai 'baseline' kehidupan bermasyarakat. Kita malu orang agama bergaduh, malu industri buku agama dan ilmu berkrisis, malu melihat orang politik bercakaran.

Tetapi hakikatnya, realiti kehidupan tidak pernah ideal menurut standard berkenaan. Tiada yang baharu.

Seawal beberapa tahun pasca kewafatan Nabi Muhammad ﷺ umat ini sudah perlu berhadapan dengan 'krisis paling memalukan' apabila generasi yang dididik oleh Baginda ﷺ sendiri terjebak di dalam perang saudara. Bukan setakat malu-malu, banyak nyawa sampai terkorban, pergi tidak berganti.

Tetapi...

Walaupun kita kena terus berusaha memperbaiki diri dan secara proaktif mengelak daripada terjebak atau mencetuskan 'perkara-perkara yang memalukan itu tadi', apa yang perlu kita fokus adalah kekuatan yang agama kita bekalkan untuk menguruskan krisis dan fitnah paling besar, walau sebesar mana pun ia.

Agama datang tidak berfungsi menutup fitrah manusia daripada kebarangkaliannya melakukan kerosakan atau menimbulkan masalah. Tetapi agama datang mengajar kita, semasa masalah timbul, macam mana kita nak selesaikan masalah itu.

Sama ada kita yang menonton, atau mereka yang terlibat, kita sama-sama sedang diuji. Adakah kita memilih untuk diam dan berkecuali, atau memilih untuk terlibat, melibatkan diri? Jika terlibat, kita terlibat bersama mata yang bagaimana?

Mata lalat yang sentiasa mencari kekotoran walaupun terbang di taman bunga?

Atau mata lebah yang semasa terbang di celah semak samun pun tetap mencari bunga dan madu untuk mengutip kebaikan dan manfaat kehidupan?

"Dialah Allah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan sebagai UJIAN, untuk menguji siapa di kalangan kamu yang mengelokkan amalan?" (Al-Mulk : 2)

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message