β€˜π—žπ—˜π—¦π—”π—Ÿβ€™ π—§π—œπ——π—”π—ž π—›π—”π—•π—œπ—¦ π—•π—˜π—Ÿπ—”π—π—”π—₯ π—™π—œπ—­π—œπ—ž 𝗗𝗔𝗑 π— π—”π—§π—˜π— π—”π—§π—œπ—ž 𝗧𝗔𝗠𝗕𝗔𝗛𝗔𝗑 π——π—œ π—¦π—˜π—žπ—’π—Ÿπ—”π—›


Saya jarang layan persoalan β€œkalaulah”, β€œbagaimana jika diberi peluang berpatah balik” dan yang seumpama dengannya sebab ia tidak akan berlaku, hanya membuang masa meneroka jawapannya.


Kecuali jika jawapan kepada persoalan itu bermanfaat untuk sesuatu yang boleh dilakukan sekarang.


Misalnya, jika saya boleh berpatah balik ke zaman sekolah, antara yang saya kesalkan ialah semasa bersekolah, saya tidak mendapat idea bagaimana sains boleh menolong saya meneroka dan mencari kebenaran. Dapat sedikit semasa belajar biologi kerana cikgu kami, Cikgu Mohd Arip Kasmo memang memberi penekanan. Tetapi ia lebih kepada apa yang kita belajar di dalam biologi, ada di dalam al-Quran, justeru membuktikan kebenaran al-Quran dan kebesaran Allah swt.


Apa yang saya hajatkan adalah bagaimana mengenai fizik dan matematik tambahan. Bagaimana menguasai kemahiran subjek berkenaan boleh menolong saya meneroka theoretical physics dan fizik angkasa yang kompleks. Hari ini, apabila mendengar atau membaca penerangan mengenai hal ehwal ini, saya hanya dapat menghargai hasil akhir. Tidak memahami prosesnya.


Saya mula membaca kembali buku-buku sains yang ditulis untuk kanak-kanak berumur 10 ke 12 tahun, agar saya dapat faham semula betul-betul apa itu sel, atom, molekul, bagaimana photons itu unik, perlahan-lahan. Supaya saya boleh terangkan kenapa kucing kami tak akan boleh menangkap cahaya laser di lantai yang saya gunakan untuk bermain dengannya.


Mungkin sudah terlambat. Saya pun sudah tua. Kekesalan mengenang hal ini saya gunakan untuk membebel dengan anak-anak sahajalah. At least saya dahulu kehilangan peluang belajar sains kerana mahu belajar agama dan bahasa Arab. Kalian, agama pun tak sangat, sains pun tak sangat, ruginya kalau sibuk hal rambut dan kasut sahaja.


Fed up anak-anak dengar orang tuanya membebel macam ini πŸ˜†.


Paling utama…


Hendaklah kita beringat dan berhati-hati bahawa Rasulullah ο·Ί melarang ungkapan berkalau-kalau sebagai kekesalan kerana ia membuka pintu hasutan syaitan:



وَΨ₯ِنْ Ψ£ΩŽΨ΅ΩŽΨ§Ψ¨ΩŽΩƒΩŽ Ψ΄ΩŽΩŠΩ’Ψ‘ΩŒΨŒ ΩΩŽΩ„ΩŽΨ§ ΨͺΩŽΩ‚ΩΩ„Ω’ Ω„ΩŽΩˆΩ’ Ψ£ΩŽΩ†ΩΩ‘ΩŠ ΩΩŽΨΉΩŽΩ„Ω’Ψͺُ ΩƒΩŽΨ§Ω†ΩŽ ΩƒΩŽΨ°ΩŽΨ§ ΩˆΩŽΩƒΩŽΨ°ΩŽΨ§ΨŒ ΩˆΩŽΩ„ΩŽΩƒΩΩ†Ω’ قُلْ Ω‚ΩŽΨ―ΩŽΨ±Ω اللهِ ΩˆΩŽΩ…ΩŽΨ§ شَاَؑ ΩΩŽΨΉΩŽΩ„ΩŽΨŒ فَΨ₯ΩΩ†ΩŽΩ‘ Ω„ΩŽΩˆΩ’ ΨͺΩŽΩΩ’Ψͺَحُ ΨΉΩŽΩ…ΩŽΩ„ΩŽ Ψ§Ω„Ψ΄ΩŽΩ‘ΩŠΩ’Ψ·ΩŽΨ§Ω†Ω



"Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir Allah, Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana sesungguhnya kata "kalau" itu membuka pintu amalan syaitan.” (Hadith riwayat Muslim, no. 22664)





---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message