Jika kita diuji dengan ujian penindasan orang berkuasa, manusia mudah simpati dengan kita, melihat kita bersabar dan mungkin berakhir sebagai hero yang mendapat tepukan. Tetapi bagaimana jika kita diuji dengan ujian yang memalukan diri? Diuji dengan penyakit kulit, hingga mengundang kecaman bahawa kita pengotor, mempunyai cara hidup yang bermasalah dan sebagainya?

Sedangkan itu adalah ujian Allah ke atas Nabi Ayyub a.s!

Bagaimana jika kita diuji dengan kematian anak? Kedukaan dan kesabaran Nabi Muhammad ﷺ apabila kematian anak-anaknya seorang demi seorang, biar pun perit, ia boleh diproses dengan mudah. Tetapi bagaimana jika kita diuji dengan zuriat yang menolak didikan, bimbingan, dakwah malah kasih sayang kita, memilih melakukan maksiat terang-terangan? Lantas kita dikecam sebagai lelaki dayus, lemah kepimpinan dalam rumahtangga dan keluarga serta gagal dalam mendidik anak-anak?

Sedangkan, itu adalah ujian Allah ke atas Nabi Nuh a.s, Nabi Yaakub a.s, dan Abu Bakr al-Siddiq r.a.

Adakah semasa diuji sedemikian rupa, kita berhasil mendekatkan diri kepada Allah menghitung iktibar, atau kita mempersoalkan-Nya, "mengapa aku diuji sebegini?"

Hakikatnya, ujian-ujian seperti itu hadir, untuk mendorong kita mencapai ketinggian iman, dengan mengikhlaskan diri dalam mengimani-Nya. Dan kita tidak akan mencapainya sehinggalah mā fī qalbī ghairullāh... tiada apa-apa dalam hatiku, kecuali Allah.

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message