𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗞𝗔𝗛 𝗔𝗡𝗗𝗔𝗜 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗘𝗠𝗔𝗡𝗚𝗔𝗧 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡

Kita hari ini dikelilingi 'kesempurnaan' dalam beragama, sehingga ketidaksempurnaan tidak mempunyai ruang untuk dibincangkan mengenainya.
Agama kita beransur-ansur menjadi tidak manusiawi dan ia memudahkan merebaknya kemunafikan dan penyakit jiwa kesan saling menghentam ketidaksempurnaan itu.

Sedangkan kita semua manusia.

Seorang anak muda dari Kufah mempersoalkan 'standard' para sahabat yang Huzaifah bin al-Yaman r.a. ungkap tanpa 'wow factor'.

"Kalaulah kami berada di tempat kamu, berpeluang berjumpa Nabi ﷺ , nescaya kami tidak akan biarkan baginda berjalan di tanah (mengotorkan kakinya yang mulia). Kami akan junjung baginda di leher kami!"


Huzaifah r.a. menyantuni semangat anak muda ini dan membuka kisah yang terjadi di dalam perang Khandaq (tonton video ini untuk perincian dan terjemahannya).

Para sahabat tidak ada seorang pun yang bangun menyahut tawaran Syurga, tawaran keselamatan, tawaran menjadi sahabat akrab Nabi ﷺ di Syurga, dek sebab-sebab yang sangat manusiawi. Sehinggalah baginda secara spesifik menyebut nama Huzaifah, lantas beliau tiada pilihan kecuali bangun dan menunaikan perintah berkenaan.

Perasaan adalah sebahagian kemanusiaan kita. Al-Quran, al-Sunnah dan Sirah kaya dengan panduan Allah swt untuk kita uruskan kemanusiaan ini. Agama bukan mengikut perasaan, tetapi agama juga tidak menganiaya dan mengkesampingkan perasaan.

Dunia ini tidak pernah bermaksud menjadi daerah kegembiraan tanpa kedukaan, kebahagiaan tanpa penderitaan. Daerah yang sempurna hanyalah Dar al-Salam (surah Yunus : 25), yang harus menjadikan kita kekal berada di jalan menujunya, baik jalan advance, jalan intermediate, mahu pun jalan amatur yang penuh kekurangan.


#pedagogiramadan


https://pedagogiramadan.hasrizal.com



---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message