Perkongsian Omar Barghouti di majlis berkenaan menunjukkan bahawa boikot perlu dilakukan hasil daripada penelitian, mempertimbangkan kesan yang boleh dihasilkan dan bukan semata-mata untuk memuaskan emosi marah kita terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan kezaliman ke atas penduduk Palestin.


Saya menutup perkongsian ini dengan kita merenung kepada sepotong hadis Nabi ﷺ yang terdapat di dalam Sahih Muslim:
من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان‏
“Sekiranya sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah ia dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (hadith riwayat Muslim)


Saya ingin menyentuh tentang perkataan yang dipakai oleh Nabi ﷺ di dalam hadis tersebut. Bahawa tindakan yang kita lakukan terhadap kemungkaran yang kita lihat, bukan hanya mencegah atau menghalang. Perkataan yang dipakai di dalam bahasa Arab itu bukan falyamna’hu (فليمنعه) ataupun apa-apa yang memberikan maksud memberhentikannya, menghalangnya, atau mengepungnya. Tetapi perkataan yang baginda pakai adalah falyughayyirhu (فليغيره) “hendaklah dia mengubahnya.”


Maka mencegah kemungkaran mestilah mempunyai kualiti pada tindakan tersebut yang berpotensi mengubah kepada sesuatu yang lebih baik. Tindakan kita untuk mencegah kemungkaran tidak harus berada pada baseline yang rendah selama-lamanya dengan alasan “yang penting saya buat sesuatu.” Tetapi kita kena selalu memikirkan apakah langkah yang lebih efektif, paling efektif, untuk sebuah perubahan itu dapat dihasilkan.


Dan ini adalah merupakan satu saranan yang begitu produktif daripada Nabi ﷺ agar kita mengutamakan kualiti. Berbanding tindakan yang berasaskan semata-mata kepada sentimen.


Emosi itu adalah api yang akan padam apabila bekalan minyaknya berakhir.


Minyak itu datang daripada ilmu, pemerhatian, dan perbincangan, mesyuarat dan semua itu diperintahkan oleh agama agar menjadi sebahagian daripada modus operandi kita pada membantu Palestin dan Muslim seluruhnya.


Artikel penuh di https://saifulislam.com/2023/11/panduan-boikot-menurut-pengasas-gerakan-boikot-sendiri-omar-barghouti-bds/


#bebaspalestin

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message