Primary attachment merujuk kepada hubungan emosi yang kita bina semenjak lahir dengan individu paling rapat (ibu, bapa), untuk berasa aman dan selamat. Seumpama anak kambing, apabila meningkat umur, semakin berani meninggalkan kumpulannya untuk meneroka. Tetapi apabila timbul ancaman, anak kambing itu boleh balik kepada ibunya, memisahkan diri daripada ancaman yang menakutkan itu.




Kehidupan di sekolah berasrama menghilangkan fungsi primary attachment ini. Sebab itu, menghantar anak pada usia kecil (misalnya umur sekolah rendah) untuk bersekolah di asrama, adalah yang paling meninggikan risiko kegagalan primary attachment ini. Apatah lagi budaya masyarakat kita, mengejek dan memandang hina perasaan rindu dan berhajatkan kepada ibu. Kita anggap ia lemah dan memalukan. Lalu, emosi itu dipendam, disembunyikan dan perlahan-lahan, si anak membina usaha bersendirian mempertahankan diri.




Ia turut terjadi di sekolah agama.




Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan pendekatan yang berlawanan dengan itu. Apabila Malik bin al-Huwairith r.a. serta anak-anak muda yang belajar bersamanya dengan Rasulullah ﷺ rindukan keluarga selepas 20 malam berpisah, Rasulullah ﷺ menangguhkan aktiviti pembelajaran, mengiktiraf kerinduan itu, dan menyuruh anak-anak muda itu pulang ke keluarga masing-masing.




Kita mengutip amalan jahiliah yang menyalahi fitrah, menyangkanya sebagai Islamik dan Saintifik.




Lanjutan 5 tahun berada di asrama, terus 11 tahun merantau di luar negara, saya berhasrat untuk menebus kehilangan hubungan dengan ibu dan peluang berbakti kepadanya. Tetapi kehidupan di tanahair tidak berjaya. Saya ralat kerana sentiasa terhalang daripada membahagiakan hati ibu sendiri hingga ibu perlahan-lahan dihinggapi dimentia dan hilang kemesraan dengan saya. Akhirnya saya nekad membawa diri pada tahun 2016 ke Finland.




Apabila mendapat khabar mengejut tentang pemergian ibu secara tiba-tiba, saya rasa seperti layang-layang terputus tali dan hilang ditelan kabus perantauan. Tiada sesiapa di sekeliling saya yang dapat sama-sama bersedih dengan pemergian ibu. Saya menangis sepuas-puasnya di bawah pohon birch di belakang rumah. Ia menutup hati saya untuk kembali ke tanahair kerana saki baki usia yang ada tidak memungkinkan saya untuk memulakan kembali kehidupan di tanahair kerana ibu yang menjadi pengikat hati saya dengan kampung halaman, telah pergi buat selamanya.




Primary Attachment, di dalam tema Boarding School Syndrome, menjelaskan mengapa ex boarders, ramai yang mempunyai karakter diri yang dikagumi sebagai tokoh masyarakat, ahli korporat dan profesional yang berkarisma, tetapi di dalam kehidupan peribadi, individu ini rumit meluahkan perasaan dan mencetuskan rasa terasing pada diri pasangan akibatnya.




Ia boleh diatasi melalui terapi dan kesabaran. Namun ia harus bermula dengan memahami terlebih dahulu mengapa ia berlaku.




John Bowlby sebagai ilmuan yang mengasas dan mengembangkan Attachment Theory itu sendiri, adalah bekas murid sekolah berasrama. Dalam suratnya kepada isteri, beliau berkata, "usahkan anak, anjing aku pun tidak akan aku hantar tinggal dan hidup di sekolah berasrama!"




Sesuatu untuk renungan kita bersama.




Jalan berliku untuk ditempuh di celah kemegahan arus perdana bersekolah di sekolah-sekolah berasrama generasi ke generasi kita.

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message