PEDAGOGIRAMADAN.HASRIZAL.COM
𝗠𝗲𝗻𝗴𝗮𝗽𝗮 𝘀𝗲𝗯𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝘂𝗺𝗮𝘁 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗯𝗲𝗿𝗽𝘂𝗮𝘀𝗮 𝘁𝗲𝘁𝗮𝗽𝗶 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗼𝗹𝗮𝘁?
Jawapan terbaik sudah tentu ada pada kesudian individu berkeadaan seperti ini berkongsi fikiran dan perasaan mereka. Kita ingin memahami, agar dengannya kita boleh memikirkan penambahbaikan pada urusan pendidikan agama, baik formal mahu pun tidak formal; keibubapaan.
GANJARAN: Puasa hadir dengan ganjaran segera dan menarik. Pujian, hidangan berbuka puasa, duit raya. Berbeza dengan solat. Sudah tentu tidak munasabah solat diberi ganjaran seperti puasa kerana kita solat lima kali sehari sepanjang tahun. Tetapi ganjaran tidak semestinya dengan wang atau hadiah. Senyuman dan pujian juga sudah mengaktifkan sistem ganjaran di otak, mempengaruhi bermakna atau tidak bermaknanya sesuatu yang seorang anak lakukan.
SOSIAL: Puasa tiba sebulan sekali. Ia memecah rutin. Tiba-tiba sekeluarga bangun awal pagi makan bersama, berbuka puasa, masjid meriah, sibuk bersiap untuk menyambut raya, dan sebagainya. Semua ini menjadikan pengalaman berpuasa 'memorable'. Ia tidak jelas terjadi di dalam rutin solat. Hal ini boleh mendorong puasa masuk ke daerah kabur antara ibadat dan adat. Sedangkan solat, terutamanya di luar 'controlled environment' seperti sekolah, asrama, keluarga Islamik dan sebagainya, solat itu tidak ada banyak sebab untuk seseorang memilih mendirikannya, kecuali sesuatu sedang terjadi di dalam kepercayaannya.
Juga, puasa kurang mengundang risiko sosial. Ia ibadah yang tidak kelihatan. Tetapi solat menjadi satu pengisytiharan. Seseorang itu perlu melakukan konfrontasi terhadap persekitarannya jika hendak bersolat, andai persekitarannya itu bukan mesra solat.
Oleh kerana solat dan puasa itu demikian bentuknya, puasa itu terkandung padanya mekanisme untuk mencegah ia daripada menjadi adat.
Semasa Allah swt wajibkan ia melalui wahyu surah al-Baqarah ayat 183, Allah swt memanggil kita dengan panggilan "wahai orang-orang yang beriman" agar kita berpuasa kerana iman. Di dalam sepotong hadith Qudsi juga, Nabi ﷺ menceritakan bahawa Allah swt menerangkan puasa itu adalah khusus untuk-Nya, maka Dialah yang secara eksklusif menentukan ganjarannya.
Malah, apabila surah al-Baqarah ayat 183 itu turut menyebut "sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu", apakah dimensi yang harus kita terokai? Apa yang terjadi kepada puasa umat terdahulu hingga ia disebut ketika pensyariatan puasa itu diperbaharui di era Nabi Muhammad ﷺ ?
Moga hal ini boleh kita renungkan bersama, agar kita boleh melakukan penambahbaikan dalam didikan agama di rumah, sekolah dan masyarakat seluruhnya.
Ekoran itu juga, jika kita melihat senario umat Islam berpuasa tetapi tidak solat, kita juga ingin meninjau senario umat Islam bersolat tetapi melakukan kemungkaran. Ia juga masalah dan dimanakah silapnya?
📌
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyokong usaha-usaha pendidikan di platform media sosial saya.
Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Revolut: https://revolut.me/hasrizal

---

Send in a voice message: https://podcasters.spotify.com/pod/show/hasrizal/message